Skip navigation

Apakah makna pembelian saham? Saham merupakan pelaburan yang menunjukkan pemilikan terhadap sesebuah syarikat. Apabila anda membeli saham, anda sebenarnya membeli sebahagian daripada pemilikan syarikat; kadar pemilikan (atau ekuiti) bergantung kepada jumlah saham yang dibeli. Anda boleh membeli sedikit atau banyak lot (saham biasanya dijual dalam lot iaitu satu lot 1,000 saham). Misalnya, jika anda membeli satu lot atau 1,000 saham sebuah syarikat yang menerbitkan satu juta saham. Ini bermakna anda memiliki 1,000 saham syarikat tersebut. Apabila sesebuah syarikat menerbitkan saham untuk tawaran umum, maknanya ia telah menyerahkan sebahagian pemilikannya. Sebagai tukaran, syarikat itu menerima dana daripada jualan sahamnya yang diperlukan untuk menjalankan dan mengembangkan perniagaannya. Syarikat mendapati cara ini lebih murah berbanding membuat pinjaman daripada bank dan terpaksa membayar faedah yang tinggi. Lazimnya saham yang diterbitkan ialah saham biasa. Pelabur membeli saham syarikat kerana mereka ingin memperoleh pulangan daripada pelaburan melalui: menerima dividen yang dibayar hasil daripada keuntungan syarikat, dan menikmati keuntungan modal, iaitu keuntungan yang diperoleh daripada peningkatan dalam nilai saham/peningkatan harga saham apabila mereka membeli dengan harga rendah dan menjual pada harga tinggi. Saham biasa tidak mempunyai tarikh matang (tidak seperti bon) atau kontrak atas dividen, dan oleh itu mempunyai potensi bayaran dividen yang tidak terhad. Ia juga memberi hak kepada pemegang saham untuk mengundi dalam hal-hal penting pada mesyuarat agung syarikat, seperti pemilihan dan pemecatan pengarah syarikat. Risiko berkaitan saham Anda perlu mengetahui bahawa terdapat risiko yang dikaitkan dengan pembelian saham. Pelaburan ekuiti lebih berisiko berbanding melabur dalam sekuriti pendapatan tetap seperti bon. Apabila prestasi syarikat kurang baik, anda mungkin tidak menerima sebarang dividen. Sahamnya mungkin mengalami kejatuhan nilai dan anda mengalami kerugian modal yang dilaburkan. (Tetapi jika sebaliknya berlaku, anda mungkin menerima dividen yang tinggi dan memperoleh keuntungan modal dalam saham.) Terdapat faktor lain yang boleh mempengaruhi harga saham anda seperti prestasi pasaran saham keseluruhannya dan keadaan ekonomi negara. Anda juga boleh mengalami kerugian keseluruhan pelaburan jika syarikat itu menutup perniagaannya. Terdapat juga saham yang sukar untuk dijual jika permintaan terhadapnya semakin berkurangan. Oleh itu, sangat penting memilih syarikat yang sesuai untuk melabur. Membeli berdasarkan fundamental Penasihat kewangan secara umumnya mencadangkan supaya saham menjadi sebahagian daripada portfolio pelaburan. Matlamat urus niaga dalam saham adalah untuk membeli pada harga yang rendah dan menjual pada harga tinggi. Bagi pelabur jangka panjang, sangat penting memilih saham berdasarkan fundamental, bermakna pelabur perlu berpengetahuan tentang syarikat yang dirancang untuk melaburkan wang simpanan mereka. Oleh itu, sangat penting anda membaca dan memahami prospektus, laporan kewangan dan pengumuman korporat, yang wajib diedarkan oleh syarikat tersenarai kepada pemegang saham dan pelabur awam. Ketika memilih saham, anda perlu meneliti faktor seperti latar belakang syarikat dan pengurusannya, kekuatan kewangan syarikat, nisbah harga perolehan dan kadar hasil dividen, prospek pertumbuhan perolehan dan kebolehan syarikat untuk bersaing. Pelabur bijak akan memeriksa faktor yang boleh menjejaskan nilai saham sebelum melaburkan wangnya. Terdapat dua jenis saham terbitan yang akan ditemui oleh pelabur dalam urus niaga saham, iaitu terbitan bonus dan terbitan hak.

 

http://www.min.com.my/min/article.aspx?menu=4&menuAttch=38&sec=article

Welcome to WordPress.com. This is your first post. Edit or delete it and start blogging!

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.